Home/Blog Mudir/HUKUM MEMEGANG DAN MELIHAT MUSHAF AL-QURAN DALAM SOLAT

Assalaamu’alaikum;

Pada kesempatan ini ana hanya ingin nukilkan apa yang ana pernah kongsikan dalam majalah I pada tahun lepas.

Tajuk Artikel: HUKUM MEMBACA MUSHAF AL-QURAN DALAM SOLAT

Oleh:

Ustaz Noor Effendi bin Hamid.

(nooreffendihamid@yahoo.com) Pendakwah Bebas

Semakin banyak masjid dan surau di Malaysia yang imamnya mengimami solat fardu atau sunat dengan meletakkan mushaf al-Quran di hadapan dalam keadaan terbuka untuk dibaca dalam solat. Fenomena ini biasanya dilihat pada pagi Jumaat kerana imam yang ingin membaca surah as-Sajadah dan al-Insan pada solat subuh pagi Jumaat tidak menghafaz surah tersebut. Tidak mustahil, fenomena yang sama akan bertambah pada bulan Ramadan ini kerana semangat memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam solat ingin diamalkan oleh para imam dan jemaah.

Adakah mereka yang melakukannya telah mempelajari hukum amalan tersebut? Persoalannya, solat adalah ibadat khusus yang caranya tidak boleh dilaksanakan kecuali jika ada hujah atau dalil dari sumber yang boleh diterima seperti al-Quran dan as-Sunnah. Bacaan al-Quran juga adalah ibadat khusus yang sememangnya boleh dibaca melalui hafazan dalam setiap solat. Namun, hukum membaca al-Quran dengan cara melihat kepada mushaf atau kitab al-Quran, bukan melalui hafazan adalah perkara yang jarang dibincangkan.

Pembaca al-Quran melalui mushaf dalam solat terbahagi kepada sepuluh bahagian iaitu sama ada pembaca adalah imam, makmum, atau sendirian. Begitu juga sama ada pembaca seorang yang telah menghafaz apa yang dibaca atau belum menghafaznya. Solat yang dikerjakan pula sama ada solat fardu atau solat sunat. Begitu juga al-Quran yang dibaca dalam solat sama ada dibentangkan di hadapan dengan apa sajaha alat, dipegang dengan tangan tanpa membuka-buka atau menyelak-nyelak lembaran lembaran kertas al-Quran atau dipegang al-Quran dengan tangan sambil membuka-buka lembaran al-Quran kerana bacaan yang panjang melebihi satu atau dua muka surat.

Salah satu atau lebih dari sepuluh keadaan tersebut yang berlaku dalam solat yang bacaan al-Qurannya melalui bacaan mushaf. Ringkasan hukum bagi sepuluh keadaan tersebut diringkaskan dalam artikel ini untuk memudahkan perbahasan yang dibincangkan dengan panjang lebar oleh para ulama dahulu dan ulama sekarang. Setelah dikaji perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini, pendapat mereka terbahagi kepada dua iaitu pendapat yang membolehkan dan pendapat yang tidak membolehkan.

Pendapat yang membolehkan adalah pendapat jumhur ulama tetapi mereka terbahagi kepada empat kefahaman yang berlainan dalam menetapkan hukum ini. Pertama, membolehkan amalan tersebut secara mutlak tanpa sebarang perbezaan hukum dalam sepuluh keadaan yang telah disebut di atas. Kedua pula, membezakan hukum antara yang solat bersendirian dan solat berjemaah. Ketiganya, membezakan antara yang hafaz dan yang tidak hafaz surah yang dibaca dalam solat tersebut. Akhir sekali, membezakan hukum antara membaca dengan memegang al-Quran di tangan dan membaca al-Quran yang terbentang di hadapan.

Adapun pendapat yang tidak membolehkan amalan tersebut terbahagi kepada tiga kefahaman. Pertama sekali, mereka mengatakan bahawa amalan tersebut dilarang tetapi hanya di tahap makruh sahaja. Keduanya, berpendapat bahawa amalan tersebut haram tetapi tidak membatalkan solat. Ketiga pula mengatakan bahawa amalan tersebut haram dan membatalkan solat secara mutlak.

Perselisihan pendapat tersebut mungkin berpunca dari memahami beberapa riwayat amalan para sahabat RadiaAllahu ‘anhum ajma’in. Antara hujah yang menyokong pendapat jumhur ialah kisah yang diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dalam al-Musannaf beliau, Ibnu Abi Daud dalam kitab al-Masahif melalui dua jalan riwayat, Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf bahawa Aisyah RadiAllahu ‘anha mengamalkan bacaan dari mushaf dalam solatnya sama ada dalam bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadan. Begitu juga beliau memerintahkan hambanya Zakwan mengimami beliau dalam bulan Ramadan dengan melihat kepada mushaf al-Quran. Riwayat Zakwan ini disahihkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Taghliq al-Ta’liq.

Antara lain dari kalangan sahabat Nabi SAW yang diriwayatkan beramal dengan bacaan al-Quran melalui mushaf dalam solat dalam solat terawih atau solat dalam bulan Ramadan ialah Anas RadiaAllahu ‘anhu. Adapun dari kalangan para tabi’in ialah Ibnu Sirin, ‘Ato, Al-Hasan al-Basri, Aisyah binti Talhah dan lain-lain rahimahumullah.

Dari kalangan ulama dan mazhab yang berpegang dengan pendapat ini walaupun terdapat perincian dalam menetapkan hukum harus atau boleh ini ialah as-Syafi’iyyah, Hanabilah, Malikiyyah, Ishaq bin Rahawaih dan sebahagian dari ulama al-Ahnaf.

Adapun antara hujah bagi yang melarang amalan tersebut ialah larangan amalan tersebut oleh ‘Umar bin al-Khattab pada zaman pemerintahannya. Ibnu Abbas pun menolak amalan tersebut. Begitu juga ramai para tabi’in dan ulama yang membeci amalan tersebut kerana ia menyerupai amalan kaum ahlul kitab yang memegang kitab mereka ketika mereka bersembahyang. Antara ulama yang menolak amalan tersebut ialah Suwaid bin Hanzalah al-Bakri, Mujahid, Al-Nakha’iy, Ibnu al-Musayyab, Sufyan, Al-Laith, al-Rabi’ dan lain-lain. Pendapat yang melarang ini juga adalah pendapat pegangan mazhab Abi Hanifah dan Mazhab ahli zahir. Ia juga diriwayatkan dari Imam Malik, Al-Syafi’e dan Ahmad Rahimahumullah.

Antara hujah yang digunakan juga oleh ulama yang melarang amalan tersebut ialah disebabkan oleh hilangnya khusyuk dalam solat dengan perbuatan melihat mushaf dalam solat. Begitu juga menyebabkan mata tidak melihat di tempat yang sebenar iaitu tempat sujud. Bahkan mereka yang membaca al-Quran dalam solat melalui mushaf akan sibuk dengan tugas-tugas membuka al-Quran hingga boleh menyebabkan pergerakan yang banyak.

Setelah diringkaskan pendapat, hujah dan ulama yang berpegang pada pendapat-pendapat tersebut maka apa yang dapat disimpulkan ialah masalah ini adalah antara masalah yang perbahasannya tidak bersandar kepada hujah dari al-Quran dan hadis nabawi. Setiap hujah yang dibawa oleh setiap pendapat adalah lebih kepada riwayat dari amalan atau larangan para sahabat yang masih dipertikaikan kesahihanriwayat-riwayat tersebut.

Justeru, penulis tidak berani mengeluarkan sebarang pendapat peribadi dalam masalah ini tetapi penulis lebih cenderung kepada menjamakkan atau menyatukan pendapat-pendapat tersebut. Penyatuan pendapat boleh dilakukan dengan berpegang kepada pendapat-pendapat tersebut mengikut suasana iaitu ia menjadi boleh jika sememangnya orang yang solat belum menghafaz apa-apa surah termasuk surah al-Fatihah. Amalan tersebut menjadi makruh apabila ia membaca al-Quran dalam solat melalui mushaf yang terbentang di hadapan. Ia menjadi haram jika amalan tersebut dengan memegang al-Quran di tangan, begitu juga jika ada unsur jelas menyerupai gaya ahlul kitab. Namun, yang terbaik ialah membaca dari ingatan atau hafazan yang disertai dengan khusyuk yang sempurna kerana itu adalah sunnah sebenar yang telah ditunjukkan oleh kekasih junjungan kita Muhammad SAW. Kejayaan kita hanya dengan mengikut jejak langkah beliau. Wallahu a’lam bissowaab.

By | 2017-06-11T16:08:00+00:00 August 13th, 2011|Blog Mudir|0 Comments

About the Author:

Leave A Comment